Diskaun 80 peratus: Orang ramai serbu kaunter bayaran saman trafik

0
1

SEMPENA tawaran pengurangan kompaun saman terpilih sehingga 80 peratus mulai hari ini sehingga 12 Disember, orang ramai mula membanjiri kaunter bayaran saman trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Kontinjen di seluruh negara.

Tawaran dengan had minimum RM30 itu dilaksanakan sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di ibu negara hari ini.

Menerusi perkongsian oleh Polis Kedah di Facebooknya, penduduk negeri itu kelihatan mula ‘menyerbu’ kaunter bayaran saman trafik di seluruh negeri.

Berdasarkan gambar yang dikongsi di laman sosial itu, orang ramai beratur panjang untuk menjelaskan saman namun masih mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Orang ramai beratur panjang untuk menjelaskan saman trafik

“Jangan risau, kita buka kaunter selama empat hari. Tak dan (sempat) mai (datang) hari ni, esok boleh mai.

“Kalau tak dan nak mai juga, bayaran dalam talian melalui aplikasi Mybayar Saman pun boleh.

Paling penting, kita amalkan SOP yang telah ditetapkan. Harap bersabar ye. Kerjasama dan kesabaran anda admin sanjung dan ucapan terima kasih,” tulis pengendali Facebook Polis Kedah.

Semalam Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Wira Mat Kasim Karim berkata semua pembayaran kompaun boleh dibuat di kaunter PDRM di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Selain itu katanya, bayaran boleh dijelaskan di kaunter bayaran saman trafik IPD dan Kontinjen serta portal dan aplikasi MyBayar Saman sepanjang empat hari tersebut.

“Pengurangan kompaun tidak ditawarkan bagi kesalahan kemalangan, memotong secara merbahaya, menggunakan lorong kecemasan, tidak mematuhi isyarat lampu merah dan memotong di garisan berkembar.

“Selain itu kesalahan yang boleh dikategori tidak boleh dikompaun (NC), kesalahan berstatus perbicaraan, kesalahan berkaitan kenderaan berat dan pengubahsuaian eksoz,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here