Saya sedia hadapi aturan, ujian Allah SWT dengan tenang – Najib

0
1

DATUK Seri Najib Razak yang akan mengetahui keputusan rayuannya dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) hari ini, sedia menghadapi aturan dan ujian Allah SWT dengan tenang dan reda.

Bekas Perdana Menteri itu memohon maaf kepada rakan-rakan, kenalan serta orang ramai kerana tidak dapat solat berjemaah bersama malam tadi.

Beliau turut mengikuti majlis bacaan yasin dan doa secara maya malam tadi kerana menjadi kontak kepada pesakit Covid-19.

“Saya menerima banyak mesej, dapat panggilan dan ada baca banyak posting dan komen-komen di FB yang memberikan kata-kata sokongan dan doa juga. Amat menghargai setiap satunya.

“Saya sedia menghadapi aturan dan ujian Allah SWT dengan tenang dan reda. Semoga Allah SWT berikan kekuatan kepada hambaNya dan permudahkan segalanya,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Mahkamah Rayuan di Putrajaya dijangka menyampaikan keputusan hari ini sama ada rayuan Najib untuk membatalkan sabitan dan hukuman berhubung kes SRC International bernilai RM42 juta dibenarkan atau tidak.

Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Najib atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram berhubung kes itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here