BIARPUN sudah lengkap menerima dua dos vaksin, pelakon Rashidi Ishak mengakui dia mengalami simptom yang teruk selepas disahkan positif virus Covid-19.
Pelakon berusia 48 tahun itu menerusi hantaran Instagram memohon maaf kerana menganggap dirinya antara penyumbang kepada statistik harian virus itu.
“Saya minta maaf menyumbang kepada statistik kes Covid-19. Sumpah tak best sakit ini.
“Saya yang dah ada dua dos vaksin pun masih sakit tahap gaban dan kini bermulalah staycation 10 hari yang tak dirancang,” katanya.
Menurut Rashidi, dia telah melakukan ujian calitan ketika berada di set penggambaran dan keputusan diterima adalah negatif.
Katanya, selepas dua hari dirinya diserang demam teruk dan mengalami sakit-sakit badan lalu pihak produksi menguruskan doktor untuk ke rumahnya membuat ujian calitan sekali lagi dan keputusannya positif.
“Doktor itu cakap jangan panik, ambil ubat dan pantau sendiri keadaan. Dia akan lapor pada Kementerian Kesihatan (KKM). Pada sebelah petangnya, pegawai kesihatan hubungi saya dan tanya soalan-soalan lazim kepada pesakit Covid-19 dan dijawab oleh saya dengan tenang.
“Dia minta saya pergi pusat penilaian Covid-19 (CAC) terdekat. Dia hantar kat aku semua pautan berkenaan wabak dan saya pun buat permohonan secara atas talian.
“Jadi pagi semalam saya pun pergilah ke CAC Nilai dengan keadaan yang sakit-sakit satu badan, kepala berdenyut-denyut.
“Saya disambut oleh pegawai perubatan dan selepas membuat pemeriksaan asas pun dikawal selia oleh doktor, tekanan darah dan tahap oksigen,”katanya.
Dalam masa sama, pelakon siri Kampung People itu sempat menasihati orang ramai untuk sentiasa menjaga diri dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP). – Malaysiapost

