Najib tak boleh bertanding PRU – peguam

0
1
1. Najib menjadi bekas ketua negara pertama didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara oleh mahkamah

DATUK Seri Najib Razak tidak layak dicalonkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Pekan jika Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan dalam masa terdekat.

Perkara itu dinyatakan Peguambela dan Peguamcara, Muhammad Rafique Rashid Ali susulan Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan bersalah ke atas Ahli Parlimen Pekan itu berhubung penyelewengan dana SRC International.

“Bagi tujuan pencalonan ke kerusi Dewan Rakyat, Perkara 48 (5) menyatakan bahawa sabitan adalah berkuatkuasa serta-merta.

“Maknanya sabitan Mahkamah Tinggi dan keputusan rayuan pagi ini berkuatkuasa serta-merta untuk tidak melayakkan Najib dicalonkan sebagai calon BN bagi Parlimen Pekan.

“Dengan kata lain, Najib tidak boleh dicalonkanlah, yakni beliau telah hilang kelayakan untuk pencalonan. Jika dicalonkan juga, ia jelas sangat bercanggah dengan Perlembagaan dan menjadikannya sebagai terbatal,” katanya menerusi kenyataan.

Bagaimanapun Muhammad Rafique yang juga Timbalan Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan berkata ketika ini Najib masih belum hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Pekan.

Ini kerana menurutnya Perkara 48 (4) (b) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa tarikh mula kuat kuasa kehilangan kelayakan bagi Najib sebagai Ahli Parlimen adalah sehingga mahkamah tertinggi iaitu Mahkamah Persekutuan membuat keputusan akhir.

“Justeru, beliau masih boleh menghadiri sesi Dewan Rakyat, berbahas dan mengundi apa jua usul dan lain-lain,” katanya.

Katanya, Perkara 53 Perlembagaan Persekutuan menyatakan kerusi Parlimen Pekan tidak akan secara automatik menjadi kosong dalam keadaan Najib memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Beliau menjelaskan, ia hanya menjadi kosong secara automatik jika Najib tidak membuat apa-apa rayuan ke mahkamah atasan.

“Kekosongan hanya akan berlaku secara automatik selepas Mahkamah Persekutuan selaku forum terakhir mahkamah undang-undang mengekalkan sabitan Mahkamah Tinggi,” katanya.

Terdahulu hukuman terhadap Najib ditangguhkan sementara bagi menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Penangguhan itu dibuat oleh peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera membenarkan penangguhan itu selepas mendengar hujah pihak-pihak terlibat.

Mahkamah turut mengekalkan syarat-syarat dikenakan terhadap Ahli Parlimen Pekan itu sebagaimana ditetapkan Mahkamah Tinggi iaitu pasport perlu diserah ke mahkamah dan lapor diri ke balai polis berdekatan dua kali sebulan.

Panel tiga hakim berkenaan sebelum itu sebulat suara mengekalkan sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta selepas menolak rayuan bekas Najib.

Rayuan di Mahkamah Persekutuan adalah peluang terakhir Najib untuk membatalkan semua sabitan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here