Kerajaan fokus transformasi PMKS sebagai pemacu pertumbuhan baharu

0
1

RANCANGAN Malaysia Ke-12 (RMK-12) serta Belanjawan 2022 yang diumumkan kerajaan menyaksikan hampir semua kategori usahawan merangkumi perusahaan mikro, kecil dan sederhana, perusahaan sosial dan usahawan tidak formal menerima manfaat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan turut memperkenal beberapa pembaharuan, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi mampan dengan
pengagihan peluang dan hasil yang lebih saksama.

Katanya, tumpuan khusus adalah mentransformasi Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) sebagai pemacu pertumbuhan baharu serta memperkasa pendigitalan bagi mengamalkan norma baharu.

Di samping itu, Perdana Menteri berkata tumpuan diberi untuk PMKS beralih daripada pasaran domestik kepada pasaran global untuk meningkatkan daya saing.

Ini sekali gus menurutnya, membantu PMKS mencapai sasaran iaitu menyumbang 45 peratus kepada KDNK dan 25 peratus daripada jumlah eksport pada tahun 2025.

“Pertumbuhan PMKS diberi penekanan penting dalam pembangunan ekonomi negara. Strategi menjurus kepada inovasi dan pendigitalan, kelestarian dan pertumbuhan inklusif dijangka mewujudkan satu ekosistem keusahawanan yang kondusif dan menyeluruh.

“Kerajaan terus mempergiat usaha bagi menambah baik akses dan peluang pasaran bagi membantu PMKS meningkatkan jualan di pasaran antarabangsa.
“Inisiatif ini dilaksanakan melalui kerjasama G2G serta usaha sama dalam kalangan negara ASEAN dan APEC serta pertubuhan antarabangsa yang lain,” katanya ketika merasmikan Pameran Tahunan PKS – SMIDEX 2021 di ibu negara hari ini.

Ismail Sabri berkata usaha juga akan dilaksanakan untuk memanfaatkan faedah perjanjian perdagangan bebas (FTA) dalam memperluas akses pasaran dan mempercepat pengantarabangsaan PMKS, termasuklah pelaksanaan Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2025 serta memeterai perjanjian FTA baharu.

Katanya lagi, pelbagai inisiatif akan diteruskan menerusi platform antarabangsa seperti ini dan forum-forum seumpamanya bagi terus menambah baik persekitaran perniagaan serta mengurangkan halangan perdagangan, seterusnya memartabat industri PMKS di persada antarabangsa. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here