KERAJAAN komited meningkatkan penglibatan perniagaan Bumiputera dalam projek nasional berskala besar serta mengkaji dasar perolehan oleh Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan juga sedang mengkaji mekanisme Jaringan Keselamatan Ekuiti (ESN) bertujuan memastikan saham dipegang agensi bermandat Bumiputera kekal dalam kelompok syarikat Bumiputera.
“Mekanisme ini akan diperhalusi agar dapat mencapai ekuiti dan nilai Bumiputera tanpa memberi kesan terlalu besar kepada daya saing agensi-agensi berkaitan dalam urusan pelaburan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.
Ismail Sabri berkata, TPB2030 berperanan memastikan kesinambungan kepada dasar dan inisiatif pemerkasaan Bumiputera terdahulu, dengan penyesuaian semasa.
Menurutnya, sasaran utama TPB2030 bakal dicapai melalui tujuh Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA) yang terdiri daripada Pertanian dan Komoditi, Ekonomi Digital, Halal dan Makanan, Kewangan Islam 2.0, Pengangkutan dan Mobiliti Lestari, Pembuatan serta Pelancongan.
“Dalam menjayakan agenda Bumiputera, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan agensi pelaksana lain mestilah memastikan tadbir urus yang tertinggi dipraktikkan dan kualiti piawaian diutamakan.
“TPB2030 mesti bermatlamat untuk melonjakkan kedudukan Bumiputera melalui merit dan daya saing. Tanpa pembangunan kapasiti dan kemampuan Bumiputera, objektif besar kita tidak akan tercapai,” katanya. – Malaysiapost

