Nasib Ahmad Zahid ditentukan 24 Januari 2022

0
1

KEPUTUSAN sama ada Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diperintah membela diri atau dibebaskan daripada tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi akan ditentukan pada 24 Januari 2022.

Memetik laporan Utusan Malaysia, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini menetapkan tarikh berkenaan selepas selesai mendengar penghujahan pihak pendakwaan dan pembelaan yang berlangsung selama 24 hari bermula 6 September lalu.

Perbicaraan terhadap Ahmad Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri itu, didengar di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah dan seramai 99 saksi pendakwaan memberi keterangan.

Ahmad Zahid, 68, dibicarakan terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Beliau didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here