DATUK Seri Najib Razak tampil memperbetul kenyataan netizen yang menyamakan bentuk Menara Merdeka 118 adalah seperti dirinya ketika melaungkan ‘1Malaysia’ dengan mengangkat jari telunjuk ke atas.
Ahli Parlimen Pekan itu memberitahu sebenarnya mercu terbaharu negara itu direka menyerupai Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ketika laungan kemerosotan di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957.
“Eh… Bukan macam itu. Sebab itu, bangunan dinamakan Merdeka 118,” katanya dalam hantaran di Facebooknya.
Dalam hantaran itu, Najib memuat baik gambar Tunku Abdul Rahman ketika melaungkan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali sambil mengangkat tangan, dan menyamakan dengan bentuk Menara Merdeka 118.
Hantaran itu dipercayai bagi menjawab beberapa kenyataan yang mempertikai mercu Menara Merdeka 118.
Untuk rekod, mercu tanda baharu negara itu dinamakan Menara Merdeka 118 kerana dibina di kawasan bersejarah iaitu antara Stadium Merdeka dan Stadium Negara, manakala 118 pula merujuk kepada bilangan tingkat bangunan iaitu 118 tingkat.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini dilapor mengumumkan Menara itu adalah bangunan kedua tertinggi di dunia secara rasmi dan tertinggi di Asia Tenggara pada ketinggian 678.9 meter.
“Selain itu, reka bentuk menara yang tersergam teguh ini sebenarnya mencerminkan imej Perdana Menteri Malaysia pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sewaktu beliau mengangkat tangan melaungkan ‘Merdeka’, 64 tahun yang lalu,” kata Ismail Sabri.
Katanya, bangunan berkenaan bukan sahaja satu pencapaian yang hebat dalam bidang kejuruteraan, malah mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai negara yang moden dan maju. – Malaysiapost

