Bersatu tak tanding, tapi Ali Biju tetap pertahan kerusi Krian

0
3

TIMBALAN Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju bertanding sebagai calon Bebas dalam usahanya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Keputusan tersebut menyaksikan wakil rakyat Bersatu itu bakal berdepan saingan empat penjuru termasuk menentang calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Friday Belik.

Bersatu sebelum ini mengumumkan tidak akan bertanding dalam PRN Sarawak, sebaliknya menyatakan sokongan kepada GPS.

Ali turut ditentang Musa Dinggat (Parti Sarawak Bersatu) dan Danny Kuan Sam Sui (Parti Bumi Kenyalang).

Dua hari lalu, Ali menafikan beliau akan menyerahkan kerusi Krian kepada calon GPS.

Malah beliau memberi bayangan masih mempertimbangkan untuk terus bertanding di situ bagi menjadi wakil rakyat untuk penggal ketiga.

Kenyataan itu dibuat selepas calon GPS dari Parti Demokratik Progresif (PDP) Sarawak yang akan dipertaruhkan di Krian, Friday mendakwa Ali tidak akan bertanding di situ.

Ali berkata, penyokongnya serta sebahagian besar pengundi Krian bertegas mahu beliau terus berkhidmat, justeru wajar bertanding untuk mempertahankan kerusi tersebut.

Ali memenangi kerusi Krian pada 2011 dan 2016 atas tiket PKR namun beliau keluar parti semasa Langkah Sheraton sebelum menganggotai Bersatu serta menjadi Adun mesra GPS.

Selain menjadi Adun, Ali merupakan Ahli Parlimen Saratok. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here