Bagitau salah, tak bagitau pun salah – Nora

0
1

Nurul Huda Abhar

“KEPADA individu yang sengaja ingin memburukkan kamu, tolong tampil bertemu muka”.

Itu permintaan penyanyi Datuk Nora Ariffin kepada pihak yang dipercayai memulakan kontroversi melibatkan perkahwinan keduanya bersama Dr Rushdi Ramli, baru baru ini.

Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Wan Ariffin, 48, berkata dia ingin mengetahui tujuan sebenar pihak itu menyebarkan kisah berkenaan rumah tangga.

“Saya ingin tahu apa tujuan sebenarnya menyebarkan fitnah, tuduhan yang tidak tepat dan berasas ini?

“Lagipun ini hal kehidupan saya. Kenapa gunakan media sosial dan akaun palsu untuk sebarkan fitnah? Alangkah baik kalau DM (pesanan peribadai) saya direct,” katanya dalam hantaran Instagram.

Menerusi laporan media semalam, terdapat pihak yang mendakwa penyanyi itu berbohong berkenaan perkahwinannya yang dikatakan baru sahaja berlangsung namun sebenarnya sudah memasuki tahun kedua.

Laporan itu juga memberitahu Nora memaksa Rushdi menceraikan isteri pertamanya, termasuklah muncul akaun twitter @missrushdi yang dikatakan anak perempuan kepada suami Nora.

Sementara itu, Nora menegaskan sebagai seorang selebriti dia berhak untuk tidak mengumumkan dan berkongsi mengenai kehidupan peribadinya jika tiada keperluan.

“Perkahwinan tidak boleh dipaksa-paksa. Begitu juga dengan perceraian. Tidak ada seorang manusia pun berhak untuk memaksa orang lain bercerai tanpa sebab. Itu dosa besar.

“Berkahwin itu perkara baik, mendapat pahala, wajar dihebahkan, kerana itulah, saya mengambil keputusan untuk beritahu pada semua untuk mengelakkan fitnah.

“Niat saya betul-betul kerana Allah. Tapi lain pula jadinya. Bagitau salah, tak bagitau pun salah,” katanya.

Pelantun lagi Di Persimpangan Dilema itu semalam menafikan dakwaan telah menjadi isteri kepada Rushdi sejak dua tahun lalu.

Malah penyanyi itu menafikan cerita kononnya telah meminta suaminya itu menceraikan isteri pertama selain merahsia tarikh sebenar perkahwinan mereka.

Jumaat lalu, Nora mengumumkan telah selamat mendirikan rumah tangga dengan kawan baik arwah suaminya, Allahyarham Johan Nawawi dalam satu majlis tertutup baru-baru ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here