SEBANYAK 24,909 saman polis dikeluarkan kepada pemilik kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, ‘fancy’ dan gagal mempamerkan nombor pendaftaran sepanjang November lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Datuk Mat Kasim Karim, berkata Op Khas nombor pendaftaran itu menyaksikan pemilik motosikal tertinggi dikenakan saman berkenaan iaitu sebanyak 12,318 saman.
Katanya, pemilik lori pula adalah yang terendah dikenakan saman iaitu sebanyak 300 saman.
“Operasi ini bertujuan mendidik para pemilik dan pengguna kenderaan di Malaysia supaya sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan dan memastikan undang-undang jalan raya dipatuhi tanpa kompromi.
“JSPT akan mengekalkan konsep sifar toleransi penguatkuasaan di kawasan tumpuan ramai sebagai strategi utama bagi mengesan pemilik kenderaan yang mengubahsuai dan mempamerkan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menasihatkan pemilik kenderaan segera menukar dan mempamerkan nombor pendaftaran mengikut spesifikasi yang dibenarkan.
“Kepada mereka yang masih ingkar sama sekali tidak akan terlepas daripada tindakan saman dan pertuduhan di mahkamah,” katanya.
Sementara itu, menurutnya, Op Khas juga telah mengeluarkan saman sebanyak 49,528 kepada pengguna kenderaan yang telah melakukan pelbagai kesalahan.
“Sepanjang 30 hari operasi ini dilaksanakan seramai 11 orang tangkapan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dibuat, tiga mengikut Kanun Keseksaan dan 20 orang di bawah Akta Dadah Berbahaya.
“Manakala 111 kenderaan pelbagai jenis telah disita atas pelbagai kesalahan dan pecahannya adalah motosikal sebanyak 60 kes, kereta sebanyak 36 dan lain-lain kenderaan sebanyak 16,” katanya. -Malaysiapost

