JENAZAH bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Sabbaruddin Chik selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara 1, jam 10.40 pagi tadi.
Van yang membawa jenazah Allahyarham Sabbaruddin tiba di tanah perkuburan kira-kira jam 10.15 pagi dan urusan pengebumian dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Allahyarham dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sejak Ahad lalu selepas dijangkiti Covid-19 dan menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.45 malam tadi.
Pembantu Khasnya, Datuk Zamri Mohamed ketika ditemui selepas proses pengebumian, berkata jenazah Allahyarham ditayamum dan disolatkan di PPUM pada kira-kira jam 9.50 pagi, sebelum dibawa ke tanah perkuburan untuk disemadikan.
Zamri menyifatkan pemergian itu satu kehilangan besar buat negara memandangkan Sabbaruddin antara individu yang melahirkan ramai pemimpin berjaya.
“Banyak yang arwah lakukan ketika hayatnya, dengan prinsipnya sebagai seorang yang tegas, berprinsip, menepati masa dan mengotakan apa yang dijanjikan.
Itu satu perkara sukar dicari ganti dari segi kepimpinan dan beliau banyak melahirkan rakan yang berjaya ketika ini,” katanya.
Semalam, media melaporkan, Sabbaruddin meninggal dunia akibat Covid-19 di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Sabbaruddin, sebelum ini dimasukkan ke PPUM sejak seminggu lalu bagi menjalani kuarantin selepas disahkan positif Covid-19. – Malaysiapost

