21,316 murid tercicir: ‘Apa yang berlaku kepada Malaysia?’ – Maszlee

0
1

AHLI Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik mengakui terkejut dengan statistik didedahkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung kadar keciciran murid sekolah.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Maszlee turut mempersoalkan apakah situasi yang berlaku di Malaysia, sehingga 21,316 murid berhenti sekolah sejak Mac 2020 sehingga Julai 2021.

“Semenjak Mac 2020 sehingga Julai 2021 seramai 21,316 anak-anak telah berhenti sekolah atau keciciran!

“Apakah yang telah berlaku kepada Malaysia?,” soalnya dalam hantaran itu.

Dalam pada itu, Mazslee mendakwa situasi itu berlaku kerana sifat jadong (jahat, bodoh dan sombong) pemimpin berkuasa.

“Ya Allah selamatkanlah negara dan bangsaku dari ketidaktentuan masa hadapan dek kebobrokan para penguasa yang jadong,” katanya.

Menerusi hantaran sama, Maszlee turut memuatnaik kenyataan jawapan KPM di Dewan Rakyat menerusi pertanyaan lisan Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad mengenai perkara itu.

Menurut KPM, berdasarkan data bagi tempoh Mac hingga Disember 2020 murid yang berhenti sekolah adalah seramai 11,301 orang atau 0.24 peratus.

Sementara, bagi tempoh Januari hingga Julai 2021, seramai 10,015 atau 0.21 peratus murid direkodkan berhenti sekolah.

Jumlah keseluruhan murid yang berhenti persekolahan bagi tempoh Mac 2020 hingga Julai 2021 adalah 21,316 orang atau 0.22 peratus murid. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here