Mayat kanak-kanak reput ditemui

0
1

MAYAT seorang kanak-kanak ditemukan dalam keadaan reput dan berbau busuk di kawasan semak dalam sungai di Jalan Anggerik Putih Majidee, Kampung Desa Makmur, Johor Bahru, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Penolong Penguasa Bomba Shamsul Khomari Bakar, berkata pihaknya dimaklumkan berhubung penemuan mayat itu oleh orang awam pada jam 10.43 pagi.

Sehubungan itu, katanya, seramai enam anggota diketuai Komander Operasi dari BBP Tebrau, Pegawai Bomba Kanan II Khairul Azharin Abd Aziz dan sebuah jentera dikejar ke lokasi kejadian.

“Mayat kanak-kanak tersebut ditemukan dalam keadaan tidak berpakaian. Jantinanya tidak dapat dikenal pasti kerana keadaannya sudah reput namun dianggarkan berusia kira-kira tiga tahun.

“Sebahagian daripada tubuh mayat kanak-kanak itu mungkin sudah dimakan haiwan, biawak kerana rambutnya sudah tiada, belakang tengkorak pecah dan otaknya juga sudah tiada.

“Berdasarkan siasatan awal, kita jangka kanak-kanak berkenaan sudah meninggal dunia sejak dua atau tiga hari lalu,” katanya seperti dilapor Utusan.

Mengulas lanjut, Shamsul Komari berkata, mayat kanak-kanak itu dikeluarkan anggota bomba pada kedudukan kira-kira 1.5 meter daripada tebing sungai berkenaan.

“Penemuan mayat kanak-kanak itu sedikit menghairankan kerana sebelum ini kami tidak menerima sebarang aduan melibatkan budak hilang atau lemas dalam sungai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat kanak-kanak itu dan siasatan sedang dijalankan.

“Kita juga sedang menyiasat jantina dan latar belakang mayat kanak-kanak berkenaan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here