HASRAT penyokong Kuala Lumpur City FC (KL City) menyaksikan Piala Malaysia diarak sekitar ibu negara tidak menjadi kenyataan.
Ini selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak membenarkan aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai diadakan bagi mencegah penularan wabak Covid-19.
Perkara itu disahkan Presiden KL City, Tan Sri Annuar Musa yang memaklumkan perarakan yang sepatutnya bermula di Dataran Merdeka petang ini, terpaksa dibatalkan.
“Dukacita dimaklumkan, Victory Parade KL City esok (hari ini) terpaksa dibatalkan.
“Kita akur supaya aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal tidak sesuai ketika ini. Keselamatan dan kesihatan penyokong KL City serta warga kota kita utamakan,” katanya menerusi ciapan di Twitter.
Terdahulu KL City dan Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) mengajak warga kota meraikan ‘Victory Parade’ sempena kejayaan menjuarai Piala Malaysia.
Perarakan itu dijadualkan akan melewati Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR); Campbell; Jalan Raja Laut; Kampung Baru; Jalan Sultan Ismail; Jalan Ampang; bangunan KLCC; Menara Kuala Lumpur; sekitar Bukit Bintang dan seterusnya berhenti di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras.
Di stadium itu akan diadakan persembahan oleh artis-artis Kuala Lumpur dan tempatan untuk para penyokong sementara menunggu ketibaan Piala Malaysia dan para pemain.
Selasa lalu, KL City menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-0 untuk menjulang Piala Malaysia 2021 di Stadium Nasional, Bukit Jalil. – Malaysiapost

