SEJUMLAH 32 pelajar dan pensyarah dari Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan di Kuala Pilah dikesan positif Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKBPD), Mohd Faizal Abdul Manap, berkata pelajar dan pensyarah terbabit dihantar ke usat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Tampin selepas status kesihatan mereka dikenal pasti semalam.
Kolej terbabit telah ditutup dan tiada sesiapa dibenarkan masuk atau meninggalkan premis IPTA itu bagi mengelakkan penularan wabak berkenaan, lapor portal The Star.
Mohd Faizal berkata, sejumlah 523 pelajar dan pensyarah menjalankan ujian saringan bermula 18 November lalu dan 105 individu telah dikenal pasti sebagai kontak rapat dan sedang menjalani kuarantin di kolej itu.
Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 139 kes positif virus Covid-10 melibatkan 114 pelajar, 15 guru dan 10 petugas di Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya.
Susulan itu, seramai 150 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekolah tersebut dipindahkan ke Institut Aminuddin Baki (IAB) di Bandar Enstek, Negeri Sembilan bagi mengelak jangkitan Covid-19. – Malaysiapost

