SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar kesal dengan pemandangan Sungai Danga dicemari dengan pelbagai sampah sarap yang mengotori sepanjang lembangan sungai.
Baginda menyaksikan sendiri pencemaran itu selepas menyusuri sungai berkenaan hari ini.
Justeru, Baginda menitahkan Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan supaya segera mengambil perhatian dan tindakan bagi mengatasi masalah pembuangan sampah di sungai-sungai.
“Exco Kesihatan dan Alam Sekitar ambil perhatian perkara ini, jangan tengok masalah kesihatan sahaja, manakala penjagaan alam sekitar juga penting untuk kehidupan rakyat.
“Kerja-kerja perlu dilakukan secara berterusan, begitu juga aspek penguatkuasaan dan pemantauan. Jangan tunggu hingga ditegur, baru kerja hendak dijalankan,” titahnya, hari ini.
Terdahulu, Sultan Johor mengemudi sendiri ‘Air Boat’ milik Baginda hampir sejam bermula jam 9 pagi dengan menyusuri Sungai Danga bagi melihat kebersihan sungai serta kawasan persekitaran.
Baginda turut bertitah Exco berkenaan supaya segera menyediakan laporan berhubung punca masalah pencemaran sampah sarap di sungai-sungai.
“Banyak peruntukan disalurkan kepada agensi dan jabatan yang bertanggungjawab menjaga sungai dan alam sekitar, namun tiada kesan,” titahnya. – Malaysiapost

