DATUK Seri Mohamed Nazri Aziz memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini bahawa beliau menerima sumbangan daripada Pengarah Consortium Zenith-BUCG Sdn Bhd, Zarul Ahmad Mohd Zulkifli untuk membaiki sekolah agama yang usang di selatan Thailand.
Mohamed Nazri yang menjadi saksi ke-14 dalam perbicaraan rasuah melibatkan projek terowong dasar laut terhadap Lim Guan Eng berkata, beliau tidak menerima sebarang wang daripada Zarul untuk memperkenalkannya kepada Guan Eng yang ketika itu adalah Ketua Menteri Pulau Pinang, lapor FMT.
Mohamed Nazri berkata demikian ketika disoal balas peguam Guan Eng, Gobind Singh Deo, berhubung soalan yang dikemukakan oleh pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Gobind: Adakah mereka bertanya sama ada kamu menerima wang daripada Zarul untuk memperkenalkannya atau bagi projek itu?
Nazri: Tidak.
Gobind: Adakah beliau (Zarul) memberikan kamu RM500,000 berkaitan projek itu?
Nazri: Tidak, tetapi beliau memberikan saya sumbangan derma untuk membantu membaiki sekolah agama yang usang di Pattani, selatan Thailand.
Mohamed Nazri menjelaskan, mengemukakan cadangan projek seperti yang cuba dilakukan Zarul berkaitan projek terowong dasar laut dengan kerajaan Pulau Pinang bukanlah sesuatu yang ganjil.
Bagaimanapun, Mohamed Nazri yang ketika itu merupakan Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan bersetuju dengan Gobind bahawa beliau telah menemui pihak-pihak di luar pejabatnya pada lewat malam kerana sibuk.
Sementara itu ketika disoal semula Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shahruddin Wan Ladin, Mohamed Nazri, 67, menjelaskan beliau berasal dari Hulu Perak di mana ramai orang yang berketurunan Pattani.
“Saya telah melawat daerah itu dan melihat sekolah pondok, masjid serta surau yang terlalu usang. Saya telah menerima sumbangan untuk memberikan bantuan,” kata Ahli Parlimen Padang Rengas itu.
Menurutnya, beliau berkawan dengan Zarul pada 1990-an selepas mengenalinya menerusi rakan lain.
Nazri berkata, Zarul menyuarakan hasratnya untuk menemui “orang yang berkuasa” di Pulau Pinang untuk melaksanakan projek di negeri itu.
“Saya tidak pasti bila beliau berkata demikian. Saya mengambil inisiatif menghubungi Guan Eng dan memaklumkan kepadanya ada seseorang yang mahu menemuinya,” katanya.
Pertemuan antara Guan Eng dan Zarul berlaku di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur, pada awal Januari 2011.
Guan Eng dan Zarul kemudian sekali lagi berjumpa di sebuah restoran Itali di Kuala Lumpur pada Mac 2011.
Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP didakwa menggunakan kedudukannya untuk meminta keuntungan 10 peratus daripada keuntungan projek terowong dasar laut berkenaan, selain menerima suapan RM3.3 juta daripada ahli perniagaan itu.
Guan Eng turut menghadapi dua tuduhan menyebabkan lot tanah milik kerajaan negeri bernilai RM208.7 juta dilupuskan kepada dua syarikat. – Malaysiapost

