KENAIKAN harga barangan keperluan harian ketika ini dipercayai berpunca daripada kos pengeluaran bertambah yang ditanggung oleh peruncit sendiri.
Ketua Perangan Umno, Shahril Hamdan, berkata beliau mengakui terdapat harga barangan yang naik tidak sekata berikutan menerima harga tinggi daripada pembekal.
Shahril menerusi hantaran Facebooknya, turut berkongsi tinjauannya bersama pasukan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Pasar Keramat, Kuala Lumpur, pagi tadi.
“Pagi tadi bersama pasukan penguatkuasa KPDNHEP WPKL di Pasar Keramat memantau harga barang makanan seperti ayam, telur, dan sayur-sayuran.
“Tidak boleh dinafikan, harga barang ada kenaikan walaupun tak sekata, terutamanya apabila kos yang ditanggung oleh peruncit sendiri naik.
“InsyaAllah dapatan-dapatan di lapangan akan membantu koordinasi pelbagai agensi untuk berusaha menstabilkan harga,” katanya.
Shahril menjelaskan, walaupun mengambil maklum kenaikan harga komoditi di pasaran antarabangsa di luar kawalan dalaman, namun faktor pencatutan dalam rantaian nilai (selain peladang/petani dan peruncit) juga tidak boleh ditolak.
“Difahamkan KPDNHEP, MAFI dan agensi-agensi berkaitan akan melipatganda tindakan kearah cadangan intervensi untuk dipertimbangkan pihak kerajaan.
“Saya difahamkan aktiviti penguatkuasaan akan terus diperhebat di seluruh saluran rangkaian makanan dari peladang, pengedar, sehinggalah peruncit,” katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Pengarah KPDNHEP WPKL, Ariffin Samsudin dan pasukan penguatkuasa atas peluang untuk menyertai aktiviti penguatkuasaan tadi. – Malaysiapost

