Kes pertama positif Covid-19 VTL Malaysia-Singapura dikesan

0
1

PROGRAM Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) Darat antara Malaysia-Singapura, yang bermula hari ini mengesan kes positif pertama di pintu masuk negara membabitkan lelaki berusia 21 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri, berkata ujian saringan di Singapura negatif sebelum ujian pengesanan pantas (RTK-Antigen) di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral, positif.

“Lelaki yang didapati positif itu menaiki bas pertama bersama 45 lagi penumpang yang tiba di sini, kira-kira jam 9.10 pagi dari Terminal Bas Queen Street, Singapura.

“Lelaki berkenaan terus diasingkan sebaik keputusan saringannya positif dan kini sedang dikuarantin Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menjalani ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).

“Pengesanan kes ini membuktikan sistem VTL Darat yang dilaksanakan di sini, berkesan apabila mereka yang positif terus diasing dan dikuarantin sekali gus tidak dibenarkan keluar dari tempat pemeriksaan,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau laluan VTL Darat, di terminal berkenaan, hari ini.

Terdahulu Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mendedahkan satu kes positif Covid-19 dikesan di pintu masuk Malaysia pada hari pertama VTL Darat antara Malaysia dan Singapura.

Sementara itu, Solihan berkata, sebanyak 12 bas dengan 350 penumpang telah tiba dari Singapura menerusi VTL Darat, di sini, sejak tengah hari tadi.

Katanya, dengan hanya satu kes positif dikesan setakat ini, adalah menjadi harapan kerajaan Johor supaya VTL Darat Malaysia-Singapura berjalan lancar sekali gus bilangan kuota harian seramai 1,440 dapat ditingkatkan nanti.

“Jika VTL Darat Malaysia-Singapura berjalan lancar, sudah pasti kerajaan Johor akan memohon supaya jumlah kuota harian ditingkatkan.

“Kita tidak menganggap satu kes positif yang dikesan di laluan VTL Darat di sini, sebagai halangan untuk kejayaan skim ini.

“Namun, langkah berhati-hati dan penuh berwaspada akan sentiasa dilaksanakan dengan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan risiko penularan wabak dapat ditangani dengan berkesan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here