JDT bernafsu tamatkan kisah dongeng The City Boys – Mora

0
1

NADA penuh keyakinan dilaungkan Benjamin Mora terhadap anak buahnya untuk mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia pada perlawanan akhir menentang KL City FC, malam esok.

Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mahu skuad bergelar Harimau Selatan itu bernafsu membenam anak buah Bojan Hodak di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Mora optimis kesebelasan yang diturunkan melakukan apa sahaja bagi menamatkan kisah dongeng skuad warga kota yang kali terakhir muncul di pentas final kejohanan tertua di Asia itu pada tahun 1989.

Jelas pengendali dari Mexico itu, misi untuk mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi pada edisi 2019 itu juga amat penting kerana mereka perlu ‘memuaskan’ kemahuan yang tinggi daripada pihak pengurusan.

“JDT akan menjadi JDT. Kami tidak akan duduk diam dan menunggu apa yang akan jadi pada perlawanan itu nanti. Kami akan buat segalanya (eat the grass), kami akan makan pasukan lawan dan cuba untuk menjaringkan gol.

“Cara untuk menang di final adalah mudah iaitu kami perlu menjaringkan gol. Kami bukan setakat mahu beraksi di final tetapi mahu memenanginya.

“Sangat penting (mempertahankan kejuaraan) bagi mengekalkan mentaliti kemenangan dan produktiviti pasukan. Ia akan meninggalkan legasi yang baik mengenai kemenangan dan kemenangan.

“Motivasinya bermula untuk mendapatkan momentum dan kemudiannya ia menjadi tabiat dan tradisi sekali gus sebagai budaya di sini. Di JDT, kami perlu menang setiap pertandingan dan ini adalah tekanan yang begitu memuncak.

“Tetapi kami perlu mengharungi tekanan ini dan memenuhi apa yang dimahukan daripada pihak pengurusan,” katanya pada sidang media pra perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Sementara itu, Mora menegaskan, tidak timbul isu di mana beliau perlu memenangi Piala Malaysia untuk membuktikan betapa dia lebih baik berbanding pengendali skuad ‘The City Boys’, Bojan Hodak yang sebelum ini pernah menjadi jurulatih JDT.

Tegasnya, dia menghormati sejarah yang pernah dilakar Hodak ketika mengendalikan JDT sebelum ini namun pasukan itu tetap memenangi pelbagai gelaran tanpa mengira siapa pun yang menjadi pengendalinya.

“Jujurnya saya tidak rasa apa-apa. Dia (Hodak) pernah berada di JDT dan menjadi watak penting ketika itu tetapi sebagai jurulatih, kami hanya membantu untuk melaksanakan permainan bola sepak yang terbaik dan memotivasikan mereka.

“Bojan hanyalah seorang lagi jurulatih dan dia tahu bagaimana untuk mengendalikan pasukan. Kalau kami menewaskan mereka, kami menewaskan KL City FC dan tiada isu peribadi,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook/Darul Takzim FC & Johor FA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here