Gardenia Bakeries diminta tangguh kenaikan harga roti – KPDNHEP

0
2
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan mengetuai Operasi Pematuhan Akta 342 dan Akta 514 di Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd Puchong hari ini.

PENGELUAR produk roti Gardenia, Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd diminta untuk menangguh terlebih dahulu cadangan menaikan harga roti di pasaran yang berkuat kuasa 1 Disember depan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata pihaknya berharap Gardenia Bakeries prihatin dengan kesempitan masyarakat sekarang.

“Walaupun menaikkan 10 sen sahaja, namun ia tetap memberi kesan khususnya kepada pengguna B40.

“Oleh itu, KPDNHEP mengharapkan pertimbangan pihak pengeluar produk roti itu untuk menangguh dahulu cadangan menaikan harga roti di pasaran.

“Pelbagai alasan yang diberikan susulan cadangan kenaikan harga itu termasuk kenaikan harga tepung gandum di pasaran,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Kempen Keselamatan Pengguna Kerjasama Petronas dan KPDNHEP di Stesen Minyak Petronas, Kuala Berang, hari ini.

Rosol berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Gardenia Bakeries dan memberi cadangan penangguhan kenaikan harga itu.

“Gardenia Bakeries akan memberi jawapan selewat-lewatnya esok sama ada bersetuju membuat penangguhan harga atau sebaliknya.

“Kami akan cari satu jalan penyelesaian terbaik bagi menyelesaikan masalah itu untuk kebaikan Gardenia Bakeries dan pengguna,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Rosol berkata, kenaikan harga sayur di pasaran juga menjadi perhatian KPDNHEP.

“KPDNHEP menjalankan Ops Pasar dalam menanggani isu kenaikan harga sayur di pasaran.

“Setakat ini, 43 premis dan 131 barangan diperiksa di seluruh negara dengan 43 Notis Pengesahan Maklumat Bertulis dan 40 Notis Bertulis dikeluarkan untuk mendapatkan maklumat harga barangan daripada peniaga.

“Pemilik premis diberikan tempoh dua hingga lima hari untuk menjawab notis,” katanya.

Jelasnya, 1,000 pegawai pemantau harga membuat pemantauan harga sayuran setiap hari di 1,500 premis di seluruh negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here