Pegawai Imigresen cedera bergelut dengan warga Afrika

0
1

SERAMAI lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam dua serbuan berasingan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Cyberjaya dan Puchong, malam tadi.

Serbuan dilakukan oleh Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan, Ibu Pejabat JIM Putrajaya dengan kekuatan seramai 30 anggota penguatkuasa.

JIM dalam satu kenyataan memaklumkan, serbuan itu dibuat susulan aduan penduduk tempatan yang kurang selesa dengan masalah sosial yang ditimbulkan warga asing terutama dari benua Afrika.

Foto Kredit : Jabatan Imigresen Malaysia

“Dalam operasi yang bermula jam 9.00 malam, ada anggota penguatkuasa yang tercedera selepas terbabit dalam pergelutan dengan pendatang asing yang enggan bekerjasama.

“Seramai 25 pendatang asing diperiksa dan daripada jumlah itu seramai lapan PATI ditahan. Warga asing yang ditahan terdiri daripada tujuh lelaki warga Nigeria dan seorang lelaki Pakistan,” menurut kenyataan itu.

Menurut JIM, pelbagai kesalahan Imigresen dikesan termasuk tidak memiliki dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, langgar syarat pas dan lain-lain kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Foto Kredit : Jabatan Imigresen Malaysia

“Premis yang diserbu dipercayai menjadi lokasi tumpuan warga benua Afrika yang tinggal di sekitar kawasan Cyberjaya dan Puchong.

“Semua PATI yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Semenyih di Selangor untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here