Kit ujian Covid-19 semakin murah – KPDNHEP

0
1

KIT ujian kendiri Covid-19 menjadi antara barang keperluan bagi setiap isi rumah susulan penularan wabak berkenaan yang masih tinggi, kini dijual pada harga serendah RM4.90 seunit di pasaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata kit itu dijual pada harga tersebut di pasar raya 99 Speedmart.

“Jadi, dengan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi, pekerjaan, sekolah dan institusi pengajian, semestinya keperluan untuk membuat ujian kendiri ini menjadi lebih mendesak dan perlu dilakukan dengan kerap.

“KPDNHEP sentiasa mendengar keluhan rakyat yang terkesan akibat penjualan set ini yang dijual pada harga tinggi, sebelum ini.

“Melalui usaha yang diadakan oleh kementerian, kita sudah berjaya menurunkan harga kit ujian kendiri ini dari RM39.90 kepada harga siling RM19.90, di peringkat runcit,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurutnya, melalui perbincangan berterusan yang diadakan KPDNHEP dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kedua-duanya bersetuju harga kit tersebut perlu diturunkan lagi, tanpa berkompromi dengan kualitinya.

“Semestinya saya mahu kit ini dapat dibeli dengan harga mampu milik agar semua rakyat dapat melakukan sendiri ujian secara kerap.

“Antara strategi yang dilaksanakan oleh kementerian ini adalah memberikan kebenaran kepada lebih banyak premis seperti di pasar raya dan kedai rangkaian untuk menjual kit ujian berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini KPDNHEP sudah memberikan kebenaran kepada 7,302 premis di seluruh negara untuk menjual kit ujian kendiri itu yang telah diberikan kebenaran oleh KKM dan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA).

“Perluasan penjualan ini sudah menyaksikan harga kit ini dijual pada harga RM6.90. Tetapi hari ini, saya amat gembira melihat inisiatif yang diambil oleh 99 Speedmart yang sudah mula menjual kit ini pada harga RM4.90 seunit,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama dari peniaga dalam membantu meringankan beban rakyat, terutama dalam usaha mengawal dan menurunkan jumlah kes Covid-19 di negara ini adalah sangat dihargai.

“Saya berharap lebih banyak premis akan mengambil langkah yang sama dalam waktu terdekat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here