Harga barang naik berpunca ‘kebijaksanaan’ kerajaan PN – Najib

0
1

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendakwa kenaikan harga barang ketika ini berpunca daripada ‘kebijaksanaan’ dasar kewangan dilaksanakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dahulu.

Najib mendakwa, beliau beberapa kali telah menegur kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai dasar-dasar kewangan dan ekonomi yang dilaksanakan, namun tidak diendahkan.

“Ada yang kata saya tidak mahu bincang tentang kenaikan harga barang.

“Ini tidak benar. Tapi apa saya mampu buat sebab menteri-menteri “bijaksana” mengawal dasar-dasar kewangan dan ekonomi, kerajaan gagal PN terdahulu tak mahu dengar?” katanya di Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, bekas Ahli Parlimen Pekan itu berkata, kenaikan mendadak harga barang ketika ini sebenarnya akibat dasar fiskal, buruh dan ekonomi sejak tahun lalu.

Selain itu katanya, ia disebabkan ‘lockdown’ separuh masak dilaksanakan untuk tempoh begitu lama, mengakibatkan kekurangan stok serta perubahan permintaan yang naik turun begitu besar.

Najib turut berkongsi beberapa pautan artikel mengenai teguran dan cadangan terhadap kerajaan PN berkaitan situasi ekonomi yang bakal dihadapi rakyat dan negara.

“Bukan sebab GST atau hanya sebab pemantauan harga barang oleh kerajaan ketika ini.

“Berdasarkan apa yang saya lihat ketika itu, saya dah ramal inflasi akan menjadi masalah besar pada separuh akhir tahun ini walaupun kerajaan PN asyik menafi. Tapi “pakar-pakar” dan kerajaan menafikannya. Kata inflasi akan terkawal.

“Malah sebelum itu, sejak Februari saya mula beri amaran serta menjelaskan punca inflasi akan naik mendadak – iaitu kegagalan menetapkan harga lantai (bukan harga siling) bahan api dan juga tarik semula semua subsidi elektrik serta-merta dan bukan secara berperingkat dan beransuran,” katanya.

Mengenai harga ayam melambung tinggi ketika ini, Najib berkata perkara itu telah dibangkitkannya pada April lalu.

“Malah sejak April juga, saya saran kerajaan menggunakan mekanisma automatik untuk mengawal harga ayam dan telur agar kekurangan bekalan tidak akan berlaku.

“Bukan hanya mengenakan kawalan harga yang sebenarnya memburukkan keadaan dan membawa kepada kekurangan bekalan yang akhirnya akan naikkan harga ayam dan telur dengan jauh lebih tinggi,” katanya.

Justeru, beliau berkongsi cadangan bagaimana kerajaan sekarang yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengatasi masalah kenaikan harga barang ketika ini.

“Jadi, apakah cadangan-cadangan saya untuk mengawal harga barang sekarang?

“Gunakan mekanisma automatik untuk keadaan luar biasa harga ayam dan telur naik mendadak – iaitu menaikan secara berperingkat cukai durian runtuh bagi harga minyak sawit diproses untuk diagih sebagai subsidi dedak dan subsidi gaji pekerja tempatan.

“Benarkan semula pekebun dan penternak mengambil pekerja asing sekiranya mereka masih gagal mengambil pekerja tempatan. Berhubung dengan ini, saya saran warga tempatan untuk tidak memilih pekerjaan dan pertimbangkan pekerjaan dalam sektor pertanian dan penternakan.

“Setiap negeri perlu juga menyediakan tanah bagi skim pertanian ala FELDA untuk memberi peluang kepada generasi baharu peneroka pertanian tetapi khususnya kepada pengeluaran makanan seperti disaran saya dalam Dewan Rakyat pada tahun lepas.

“Jangan teragak-agak lagi. Lagi lama korang takut, lebih parah harga naik akibat kekurangan stok,” katanya.

Najib juga menyeru semua pihak tidak mempercayai propaganda cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan menurunkan harga barang

“Jangan percaya lagi pada mereka yang turun jalan raya untuk ambil signboard mendesak hapuskan GST sebab kononnya SST akan turunkan harga barang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here