Sotong goreng RM100, KPDNHEP beri notis percatutan

0
1

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang mengeluarkan notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Anti Percatutan (AKHAP) 2011 kepada Restoran Hameediyah di Lebuh Campbell, Georgetown hari ini.

Notis berkenaan diberi selepas penguat kuasa agensi tersebut menjalankan pemeriksaan ke atas premis terbabit susulan tular dakwaan pelanggan mengenai sotong goreng dijual berharga RM100 yang disifatkan tidak munasabah.

Pengarah KPDNHEP negeri Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata pemilik restoran diberi tempoh sehingga 26 November untuk memberi jawapan bagi mengelak tindakan.

“Ia dikeluarkan kepada pengusaha restoran bagi mendapatkan maklumat, harga kos dan jualan sotong goreng berkenaan.

“Menerusi pemeriksaan itu, kita sudah mengambil rakaman percakapan peniaga mengenai isu tular berkenaan bagi membantu siasatan lanjut.

“Sekiranya maklum balas diminta gagal dikemukakan, pengusaha restoran boleh dikenakan tindakan mengikut AKHAP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Ridzuan, kegagalan mematuhi arahan itu adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 21(5) dan boleh dikenakan penalti di bawah Seksyen 57 AKHAP 2011.

Sementara itu, pengarah restoran terbabit, Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim, 30, berkata, beliau maklum mengenai notis tersebut dan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

Terdahulu, kisah hidangan sotong bernilai RM100 menjadi bualan hangat di media sosial, hari ini.

Ia tercetus apabila tular gambar selembar resit milik Restoran Hameediyah itu menunjukkan hidangan dua ekor sotong berharga RM100.

Salinan resit menunjukkan harga bagi dua sotong goreng berharga RM100 manakala sepinggan nasi beriani kosong berharga RM4.50, nasi putih (RM1.50), dua telur masin (RM2), papadom (RM3) dan timun (RM2) menjadi perdebatan warga maya yang menganggap harga itu melampau.

Susulan itu, Muhammad Riyaaz tampil menjelaskan, harga kesemua makanan yang dijual di restoran itu disenaraikan dengan jelas termasuk sotong antara RM10 dan RM150. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here