SOP PRN Sarawak sedang dikemaskini – SPR

0
1

GARIS Panduan Pencegahan Covid-19 bagi tujuan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang bakal diadakan bermula 6 hingga 18 Disember ini sedang dikemaskini oleh pihak berkuasa dan akan dimaklumkan setelah dimuktamadkan nanti.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata garis panduan itu sedang dikemaskini oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, SPR juga melaksanakan beberapa penambahbaikan dalam pelaksanaan PRN Sarawak kali ini antaranya adalah memansuhkan syarat kelayakan pengundi pos kategori luar negara.

“Syarat-syarat berkenaan adalah bermastautin di luar negara kecuali Selatan Thailand, Singapura, Brunei dan Kalimatan, Indonesia.

“Pernah berada di Malaysia atau kembali ke Malaysia tidak kurang daripada 30 hari dalam tempoh lima tahun sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, penambahbaikan lain adalah menyediakan saluran khusus bagi pengundi yang berumur 60 tahun dan ke atas di setiap Pusat Mengundi.

“Tempoh masa pengundian juga dipanjangkan selama 30 minit dari 7.30 pagi hingga 5 petang berbanding 8 pagi hingga 5 petang sebelum ini.

“Pengundi orang kurang upaya (OKU) pula akan mengundi di Saluran 1 dengan seramai 13,871 pengundi OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah dikenalpasti,” katanya.

Sementara itu, bagi mengendalikan proses PRN Melaka, beliau memaklumkan seramai 46,565 orang petugas akan dilantik, manakala keseluruhan 1,951 Pusat Mengundi akan digunakan dengan 3,666 saluran mengundi.

“SPR akan meneruskan penyiaran secara langsung proses-proses pilihan raya menerusi ‘live streaming’ bagi DUN yang terpilih di laman Facebook SPR sebagaimana yang dilaksanakan pada pilihan raya sebelum ini.

“PRN Sarawak ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM150 juta,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here