Pertikai cukai Najib, Rayer diarah keluar Dewan Rakyat

0
1
awani

AHLI Parlimen Jelutong RSN Rayer diarah keluar Dewan Rakyat sekali lagi dan kali ini selama 20 minit selepas menimbulkan kekecohan kerana berterusan mempersoalkan status cukai pendapatan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Rayer mempertikai kenapa Najib diberi keistimewaan ke luar negara dan tidak disenarai hitam oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) daripada Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Perkara itu Mahkamah yang tentukan, itu adalah keputusan mahkamah dan ianya masih berjalan,” jelas Zafrul di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagaimanapun Rayer tidak berpuas hati dan mendakwa Zafrul tidak menjawab soalannya.

“Jawapan saya telah berikan tadi, LHDN tidak dapat menyenarai hitam kerana keputusan mahkamah,” tegas Zafrul.

Rayer tetap tidak berpuas hati hingga Timbalan Speaker Datuk Mohd Rashid Hasnon memberi amaran berulang kali agar beliau tidak lagi mengganggu Zafrul berucap.

Tidak mengendahkan amaran itu, menyebabkan Rashid terpaksa memanggil Bentara mengarahkan wakil rakyat DAP itu ‘berehat’ di luar Dewan Rakyat selama 20 minit.

Pada 25 Jun 2019, kerajaan memfailkan saman terhadap Najib bagi menuntut bekas Perdana Menteri itu membayar RM1.69 bilion cukai pendapatan LHDN yang masih terhutang bagi Tahun Taksiran 2011 hingga 2017.

Bagaimanapun Najib meminta Suruhanjaya Khas Cukai LHDN memastikan cukai yang dikenakan kepadanya adalah sah dan nilai itu dibenarkan untuk dikenakan sebagai cukai pendapatan

Beliau telah memfailkan permohonan penangguhan prosiding tuntutan cukai pendapatan sebanyak RM1.69 bilion oleh LHDN terhadapnya, sementara menunggu rayuan mengenai penilaian cukai berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here