Najib nyatakan 4 langkah bagi menjayakan pemberian i-Citra RM10,000

0
2

TUNTUTAN pengeluaran simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra bukan bertujuan menghabiskan simpanan usia tua rakyat, tetapi membantu rakyat yang tertekan dan terkesan akibat Covid-9.

Menurut bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, cadangan mengenai pengeluaran itu dibuatnya bukanlah kerana populis atau untuk menyusahkan KWSP dan kerajaan tetapi situasi masa itu memaksa ia diberikan.

“Saya percaya berjuta-juta keluarga di Malaysia telah diselamatkan dengan cadangan atau tuntutan tersebut berjaya direalisasikan.

“Namun, saya tidak akan cadangkan dan tuntut pengeluaran tersebut jika saya tidak yakin ada cara dan perancangan untuk pulihkan dalam masa yang lebih singkat,” katanya di Facebooknya, hari ini.

Beliau yakin kerana sepanjang tempoh sembilan tahun menjadi Perdana Menteri, kadar dividen KWSP antara paling tinggi sejak 20 tahun lalu dan nilai aset KWSP naik dari RM300 bilion ke lebih RM840 bilion dalam tempoh tersebut.

“Tiada sebab jika dulu kita mampu buat, ianya tidak boleh diulang pada masa depan bagi memulihkan simpanan rakyat,” katanya.

Susulan itu beliau menyatakan empat langkah bagi memenuhi tuntutan rakyat mengenai pengeluaran i-Citra RM10,000 bagi kali terakhir.

“Langkah pertama, tekan ‘butang’ i-Citra RM10,000 bagi kali terakhir. Langkah kedua, struktur semula kaedah pembayaran dividen KWSP di mana baki simpanan lebih rendah akan menerima kadar dividen lebih tinggi secara berperingkat.

“Naikkan semula kadar caruman KWSP majikan bagi mereka yang gaji basic RM5,000 sebulan dan ke bawah,” katanya.

Menurutnya, matlamat utama KWSP ialah untuk memastikan seramai mungkin rakyat Malaysia mempunyai simpanan usia tua yang mencukupi dan bukannya memperkayakan lagi yang mempunyai baki simpanan KWSP yang sudah sangat tinggi.

“Langkah ketiga, pulihkan semula projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR)Kuala Lumpur-Singapura. Disamping memberi impak ekonomi yang besar dan menaikkan pendapatan ramai, ianya juga akan hidupkan semula projek Bandar Malaysia.

“Langkah keempat, berikan projek Bandar Malaysia yang dibatalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terdahulu kepada KWSP dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang sudah terbukti memajukan projek Battersea di England,” katanya.

Najib berkata, dengan empat langkah terbabit ekonomi negara mampu dimajukan dan simpanan usia tua pencarum KWSP mampu dipulihkan dalam masa yang singkat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here