Monsun timur laut punca harga sayur meningkat – KLWA

0
1

KENAIKAN harga sayur disebabkan monsun timur laut, menurut Persatuan Pemborong Sayuran Kuala Lumpur (KLWA).

Media hari ini melaporkan, harga kubis bunga, kekacang, cili dan beberapa jenis sayur yang lain kini meningkat sehingga mencecah 200 peratus sejak dua minggu lalu.

Menurut infografik disiarkan Harian Metro hari ini, harga kubis bunga naik lebih dua kali ganda daripada RM7 kepada RM16 sekilogram (kg) manakala harga brokoli meningkat daripada RM8 kepada RM20/kg.

Turut mengalami kenaikan ialah bok choy atau sawi pendek yang naik tiga kali ganda daripada RM3/kepada RM9/kg manakala harga kobis meningkat 33 peratus daripada RM4 kepada RM6/kg.

Mengulas mengenainya, Presiden KLWA, Wong Keng Fatt, berkata cuaca monsun ketika ini yang menyebabkan banjir dan tanah runtuh di Cameron Highland sekali gus merosakkan kawasan tanaman sayur.

“Cuaca buruk telah menjejaskan tanaman, dan kekurangan bekalan namun permintaan banyak,” katanya seperti dilaporkan FMT.

Keng Fatt juga mendakwa kenaikan harga sayur itu juga disebabkan kekurangan tenaga kerja di ladang, antara lain akibat pemulihan ekonomi yang perlahan sekali gus sukar membawa masuk pekerja dari luar negara.

Beliau berkata pembekal sayur di Cameron Highlands turut memaklumkan mengenai permasalahan dihadapi seperti banjir, tanah runtuh, dan kekurangan tenaga kerja.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peladang Sayur Cameron Highlands, Chai Kok Lim, berkata Malaysia mengimport kira-kira dua pertiga daripada keperluan sayur-sayurannya, namun sekatan sempadan global disebabkan wabak Covid-19 telah memutuskan rantaian bekalan.

“Harga ini banyak dipengaruhi oleh penawaran serta permintaan dan sayur-sayuran seperti cili mahal kerana ia bermusim dan bergantung kepada faktor import,” katanya.

Kok Lim juga berkata, kenaikan kos pengangkutan menyebabkan pembekal tiada pilihan selain menaikkan harga.

Ia juga dipercayai, kenaikan harga sayur dijangka kekal sehingga cuti Tahun Baru Cina berakhir. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here