TIGA lagi marshal motosikal berkuasa tinggi yang tular menerusi video sedang memberhentikan kenderaan awam di lampu isyarat di Port Dickson telah menyerah diri hari ini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, tiga lelaki itu hadir di Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson untuk serah diri pada jam 3.40 petang.
Katanya, ketiga-tiga lelaki itu yang bekerja sebagai pemandu lori masing-masing berusia 27, 30 dan 48 tahun ditahan sejurus menyerah kepada polis,” katanya dalam satu kenyataan.
Aidi Sham berkata, turut dirampas adalah motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki GTR 1400, Harley Davidson dan Yamaha Tracer 900 GT, sehelai vest hijau serta beberapa barangan yang diguna oleh ketiga-tiga lelaki berkenaan.
“Dengan penahanan mereka itu, menjadikan keseluruhan lima orang ditahan selepas dua rakan mereka ditahan pada awal pagi hari ini.
“Dua rakan mereka itu ditahan di rumah masing-masing di kawasan sekitar Port Dickson dan Bandar Springhill,” katanya.
Sebelum ini, dua marshal berusia 26 dan 27 tahun daripada kumpulan yang sama telah ditahan.
Konvoi motosikal berkuasa tinggi itu dikatakan dari Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) masuk melalui lampu isyarat Sua Betong menghala ke Bulatan Sunggala Telok Kemang. – Malaysiapost

