Semua fitnah jahat terbukti tidak benar – Guan Eng

0
1

“SAYA telah difitnah berkali-kali dan akhirnya semua fitnah jahat tersebut terbukti tidak benar,” kata bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Beliau berkata demikian susulan permohonan maaf oleh bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow di mahkamah hari ini berhubung kes saman fitnah pada 2016.

“Saya akan terus mempertahankan kebenaran walaupun seteru politik sanggup menggunakan fitnah jijik sebagai senjata mereka terhadap saya,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Terdahulu hari ini kes saman fitnah Guan Eng terhadap Chang Yeow berhubung artikel mengenai Pulau Jerejak diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Kes saman itu selesai, selepas Chang Yeow selaku defendan membacakan permohonan maaf kepada Guan Eng selaku plaintif di hadapan Hakim, Datuk Seri Tun Majid Tun Hamzah.

Kenyataan permohonan maaf itu turut disaksikan peguam, Datuk N Mureli yang mewakili Guan Eng.

Dalam pernyataan maaf dibacakan itu, Chang Yeow menyangkal dan menarik semula dakwaan dibuatnya menerusi satu sidang media pada 15 November 2016 yang mana kenyataan tersebut disiarkan pada keesokan hari di akhbar tempatan.

Selain itu, Chang Yeow perlu membayar kos RM75,000 kepada Guan Eng seperti persetujuan direkodkan Mahkamah Rayuan pada 12 November lalu.

Pada April 2017, Guan Eng memfailkan saman menamakan Chang Yeow, yang juga bekas Pengerusi Gerakan Pulau Pinang; Pengarang Berita Star Media Group Berhad, David Tan dan wartawan Crystal Chiam Shiying selaku defendan.

Dalam tuntutannya, Guan Eng mendakwa Chang Yeow membenar dan atau menyebabkan kenyataan palsu ditulis dan diterbitkan di akhbar atau di laman web.

Guan Eng mendakwa laporan berita bertajuk ‘Pulau Jerejak land sale questioned’ diterbitkan pada 16 November 2016 mengandungi kenyataan fitnah dan tidak benar, mengaitkan beliau dalam isu berkenaan.

Susulan itu, pada 29 Jun 2019, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membatalkan saman Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan atas alasan bekas Menteri Kewangan itu tidak mempunyai locus untuk menyaman mana-mana pihak atas kapasiti rasminya.

Namun, pada 12 November lalu Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan mahkamah terdahulu dan memerintahkan agar kes tersebut dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here