Polis hanya tahu suami bekas Gabenor BNM simpan dana 1MDB pada 2019 – Menteri

0
2

[PARLIMEN] DANA berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang yang diambil balik dari Singapura lalu disimpan syarikat milik suami bekas Gabenor Bank Negara (BNM) hanya diketahui polis pada tahun 2019.

Perkara itu diberitahu di Dewan Rakyat oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang berkata, perkara itu tidak diketahui pihak berkuasa sebelum itu.

“Jadi, semenjak itu polis telah mengambil alih untuk menyiasat semua penama yang disebut oleh YB Baling tadi.

“Siasatan polis masih dijalankan. Jadi kita kena tunggu lah hasil penyiasatan tersebut,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Wan Junaidi berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim yang membangkitkan isu melibatkan Datuk Tawfiq Ayman iaitu suami kepada Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Minggu lalu, media melaporkan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa sekurang-kurangnya RM65 juta dana berkaitan 1MDB yang diambil balik dari Singapura disimpan syarikat milik Tawfiq.

Kementerian Kewangan sebelum ini memaklumkan, usaha pemulihan aset 1MDB dan SRC International Sdn Bhd (SRC) oleh kerajaan ketika ini, memfokuskan kepada pihak yang menyebabkan kerugian kepada 1MDB dan SRC ketika menjalankan tanggungjawab mereka, sama ada melalui pembabitan secara langsung atau tidak langsung dalam pelbagai operasi dan transaksi syarikat berkenaan.

SPRM dengan kerjasama agensi penguat kuasa antarabangsa setakat ini berjaya memulangkan aset 1MDB berjumlah lebih RM20.53 bilion kepada kerajaan Malaysia.

Terbaharu menurut suruhanjaya itu, pada 12 November lalu, Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) Singapura membuat pemulangan wang milik bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil kepada kerajaan Malaysia menerusi Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset milik Kementerian Kewangan berjumlah AS$864,813.27 (hampir RM3.62 juta).

Sebelum ini, kerajaan Singapura turut membantu dalam pemulangan aset sebanyak AS$15.4 juta (RM64.42) kepada Malaysia, membabitkan akaun Cutting Edge Industries Ltd, milik Tawfiq dan Samuel Goh.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here