MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) menyifatkan keputusan Peguam Negara membatalkan rayuan membebaskan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor daripada dakwaan menerima rasuah RM2 juta pada 2016, salah dan mengecewakan.
Menerusi kenyataan hari ini, ia berkata
tindakan membatalkan rayuan tersebut akan mewujudkan persepsi sangat buruk dan menghakis kepercayaan umum terhadap institusi Peguam Negara.
Malah katanya ia mencemarkan kredibiliti dan kebebasannya untuk menjalankan tugas rasmi secara profesional.
“Justeru, Majlis Presiden akan meneliti kemungkinan tindakan Peguam Negara ini melanggar Perjanjian Memorandum Persefahaman antara PH dan kerajaan, khususnya Perkara 4 berhubung Kebebasan Institusi Kehakiman.
“Oleh itu, Majlis Presiden berpandangan keputusan Peguam Negara berhubung isu Tengku Adnan ini adalah salah dan mengecewakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Madius Tangau.
Menurut kenyataan itu, PH turut menyedari bahawa Peguam Negara mempunyai kuasa untuk memutuskan sama ada menarik balik rayuan tersebut atau tidak.
“Namun, di dalam kes ini yang melibatkan pertuduhan kewujudan unsur-unsur rasuah terhadap seorang Ahli Parlimen dan bekas Menteri Persekutuan, rakyat menuntut agar rayuan kes tersebut didengar dan dihakimi sehinggalah segala process perundangan yang dibenarkan telah dilalui sepenuhnya (exhausted).
“Sehubungan itu, Majlis Presiden akan terus meneliti tindakan seperti ini dan mempertimbang langkah-langkah yang akan diambil sehingga kedudukannya dipertikai dan kewibawaannya tercalar.
“Maka, sekiranya Peguam Negara tidak dapat menjustifkasikan keputusannya maka beliau harus letak jawatan,” katanya. – Malaysiapost

