TANPA kemenangan sebarang kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, tidak bermakna perjuangan PAS telah berakhir.
Naib Presiden PAS Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kalah dan menang sudah menjadi adat dalam setiap pertandingan apatah lagi Perikatan Nasional (PN) sudah berusaha sebaik mungkin di Melaka.
“Semoga ALLAH SWT memberkati dan memberi ganjaran pahala berpanjangan atas usaha dan komitmen diberikan. Perjalanan kita (PAS) masih jauh dan tidak terhenti setakat ini sahaja. Perjuangan masih panjang, teruskan bekerja untuk Malaysia yang lebih baik,” katanya di Facebook, hari ini.
Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu turut mengucapkan penghargaan kepada semua kepimpinan, jentera dan ahli PAS yang menyokong PN walaupun gabungan itu sekadar memenangi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Buat ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) yang diamanahkan, selamat menjalankan tugas untuk rakyat Melaka,” katanya.
PAS yang bertanding lapan daripada 28 kerusi DUN pada PRN Melaka, gagal melakar sejarah untuk mendapat kemenangan sulung di negeri itu. – Malaysiapost

