TMJ sangkal dakwaan Forest City projek gagal

0
2

TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyangkal dakwaan yang tular di media sosial menyatakan projek Forest City merupakan projek yang gagal.

Baginda bertitah, dakwaan itu adalah tidak benar dan ia fitnah yang disebarkan oleh pihak-pihak tertentu.

“Forest City merupakan sebuah projek yang sedang dibangunkan secara mampan dan berterusan.

“Projek ini sudah pun menyumbang pendapatan sebanyak RM630 juta kepada kerajaan negeri Johor dalam bentuk bayaran cukai, dividen, dan sebagainya.

“Projek ini juga telah mencipta pekerjaan untuk 1,200 rakyat tempatan dan menganugerahkan kontrak kerja bernilai RM1.4 bilion kepada 150 syarikat kontraktor tempatan,” titah baginda menerusi kenyataan.

Tunku Ismail bertitah ia secara langsung membuka peluang untuk memajukan industri pembinaan di Johor untuk jangka masa panjang.

Pada akhir lalu, titahnya, Forest City telah menerima anugerah Global Model of Low-Carbon City Planning and Design Award dari Sustainable Cities and Human Settlements Award (SCAHSA).

“Ini menunjukkan bahawa projek ini tidak gagal, sebaliknya menarik perhatian di persada dunia dengan kemajuan teknologinya. Cabaran juga dihadapi dengan wabak Covid-19 yang bukan sahaja melanda Johor, malah seluruh dunia.

“Situasi ekonomi yang tidak memberangsangkan juga menyebabkan kadar penjualan yang kurang. Juga perlu diingatkan dasar Kerajaan Persekutuan yang tidak konsisten turut menyebabkan keyakinan pelabur terhadap negara kita terjejas.

“Saya berharap dengan polisi yang lebih stabil pada masa akan datang dan apabila situasi ekonomi sudah bertambah baik, lebih ramai pelabur akan datang ke negara ini dan melabur di sini,” titahnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here