Operasi stesen JBS-Kempas Baru dihentikan sementara – KTM

0
2

KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menghentikan sementara operasi tren di antara Stesen Johor Bahru Sentral (JBS) dan Kempas Baru bermula Selasa ini.

Ketua Pegawai Operasinya, Mohd Zain Mat Taha, berkata ia berikutan pelaksanaan kerja menaik taraf Projek Landasan Berkembar Elektrik antara Gemas dan JB Sentral (PLBEGJB) yang akan dijalankan di antara dua stesen ini.

Menurutnya, kerja-kerja itu dijangka siap dalam tempoh enam bulan iaitu pada Mei 2022.

“Ekoran itu operasi perkhidmatan tren Ekspres Selatan bagi laluan JBS – Gemas – JBS dan Ekspres Rakyat Timuran bagi laluan JBS – Tumpat – JBS akan mengalami perubahan.

“Perkhidmatan Shuttle Tebrau di antara JBS – Woodlands – JBS masih tidak beroperasi sehingga kerja-kerja pembinaan ini selesai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan, bermula 23 November ini, penumpang yang membuat perjalanan menggunakan perkhidmatan Ekspres Selatan dan Ekspres Rakyat Timuran perlu ke Stesen Kempas Baru kerana perkhidmatan tren akan tamat dan mula di stesen itu.

“Penumpang yang telah membeli tiket dari atau ke JBS serta yang tidak berhasrat untuk meneruskan perjalanan, pemulangan tambang penuh akan dikreditkan ke dalam KTM Wallet melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS),” katanya.

Mohd Zain berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan syarikat e-hailing bagi memastikan ketersediaan pengangkutan alternatif di stesen yang terbabit.

“Pengguna disaran untuk merancang perjalanan bagi memudahkan pergerakan dan tidak menghadapi kesukaran pada masa akan datang.

“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dan jadual terkini dengan menghubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-22671200 atau layari saluran media baharu KTMB,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook/KTM Berhad

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here