BARISAN Nasional (BN) yang bertanding solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, menang besar dengan majoriti dua pertiga, sekali gus kembali membentuk kerajaan negeri lebih kuat.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi, BN memperoleh 21 daripada 28 keseluruhan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menyaksikan baki lima kerusi dimenangi Pakatan Harapan (PH) dengan empat daripadanya menerusi DAP.
Pada masa sama, gabungan Bersatu, PAS dan Gerakan menerusi Perikatan Nasional (PN) kalah teruk apabila hanya memenangi dua kerusi DUN pada PRN kali ini.
BN memerlukan 19 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.
Calon BN DUN Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali bakal mengangkat sumpah sekali lagi sebagai Ketua Menteri apabila menewaskan pesaing terdekatnya daripada PH, Asri Ibrahim dengan 1,142 undi.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang meraih 3,558 undi pula menumbangkan calon Ketua Menteri PN, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (3,195 undi) manakala calon PH, Zainal Hassan sekadar memperoleh 489 undi.
BN turut merampas kerusi DUN Klebang menerusi calon MCA, Datuk Lim Ban Hong dan begitu juga calon tunggal MIC, P Shanmugam menang di DUN Gadek.
PN hanya memenangi dua kerusi DUN iaitu Sungai Udang menerusi Dr Mohd Aleef Yusof serta Dr Mohd Yadzil Yaakub di Bemban. Kedua-duanya calon Bersatu.
PKR tewas semua 11 kerusi ditandingi atas logo PH, manakala Amanah yang bertanding sembilan kerusi cuma menang di Bukit Katil menerusi bekas Ketua Menteri, Adly Zahari.
Kesemua tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang menarik sokongan kepada Sulaiman hingga kerajaan Melaka terdahulu tumbang, tewas di kerusi ditandingi masing-masing.
Datuk Seri Idris Haron (PH-PKR) tewas di DUN Asahan, Datuk Nor Azman Hassan (PH-Amanah) tewas di DUN Pantai Kundor manakala Datuk Norhizam Hassan Baktee yang bertanding Bebas kalah di Pengkalan Batu.
Kesemua mereka tewas kepada calon BN. – Malaysiapost

