BN terbuka berunding jika keputusan kurang memberangsangkan

0
2

BARISAN Nasional (BN) terbuka dalam pelbagai bentuk perbincangan dengan mana-mana parti sekiranya memperolehi keputusan yang kurang memberangsangkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, hari ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN masih merasakan gelombang sokongan rakyat memihak terhadapnya setakat ini, namun tidak menolak rundingan secara terbuka itu adalah jalan terakhir bagi membolehkan kerajaan Melaka ditubuhkan.

“Kita buat keterbukaan dalam apa bentuk sekalipun, dan yang penting ialah untuk kestabilan politik Melaka.

“Soal perincian kepada persefahaman itu akan kita maklumkan kepada media untuk disebarkan kepada umum nanti,” katanya kepada media di command centre BN di Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada BN telah mengadakan sebarang perbincangan dengan mana-mana parti setakat ini sekiranya memperolehi keputusan PRN yang negatif.

Sementara itu, Zahid yang juga Presiden Umno berkata, peratusan keluar mengundi rendah pada PRN kali ini memang telah dijangka oleh BN.

“Kita telah jangka trend pengundian di Melaka ni rendah. Ini terbukti benar.

“Namun kami merasakan gelombang sokongan itu memihak kepada BN sehingga keputusan diumumkan, kita tak boleh membuat pengiraan sehingga keputusan rasmi dibuat oleh SPR.

“Namun, jika apapun yang berlaku, sama ada ia positif atau sebaliknya, kita merancang sesuatu yang baik untuk kerajaan negeri Melaka,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here