POLIS menahan ibu saudara kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang maut terjatuh dari tingkat 16 sebuah kondominium di Selayang semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata wanita berumur 36 tahun itu ditahan untuk membantu siasatan.
Beliau berkata wanita itu mempunyai lima rekod jenayah berkaitan dengan dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(5b) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu dengan cuai menyebabkan kematian kepada kanak-kanak.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang hari ini bagi tujuan permohonan reman,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Zainal Mohamed berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta hubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Nizar Adnan di 03-61262222/013-9961892.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi semalam, ibu mangsa yang juga ibu tunggal dikatakan tiada di rumah kerana keluar atas satu urusan.
Mangsa ditinggalkan bersama adik lelaki yang berusia empat tahun dan ibu saudara berusia 36 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata siasatan awal mendapati mangsa dipercayai bermain dan memanjat katil di tepi tingkap. – Malaysiapost

