PENGUNDI di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lebih cenderung memilih calon dan parti yang tidak terpalit dengan gejala rasuah.
Ia berdasarkan dapatan kajian lapangan oleh pemantau bebas daripada Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) yang dibuat selama sembilan hari menerusi temu bual bersemuka secara rawak daripada lima bahagian pilihan raya.
Pengerusinya Mohd Zai Mustafa, berkata kajian lapangan tersebut dibuat pada individu berumur antara 20 sehingga 45 tahun yang melibatkan seribu responden.
“Diantara soalan yang ditanya adalah sikap pengundi kepada gejala rasuah dan pilihan sukaan kepada tiga pemimpin utama parti politik.
“Di antara dapatan kajian adalah lebih 92 peratus menolak gejala rasuah dan 54 peratus sukaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin Presiden Perikatan Nasional (PN) kerana cakna kepada kebajikan rakyat semasa pandemik Covid-19.
“Kesimpulannya pengundi mahukan pemimpin yang bersih dan tidak terpalit dengan gejala rasuah serta pemimpin yang cakna kepada kebajikan rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Zai berkata, PN antara parti yang komited menawarkan calon dan kerajaan yang bersih tanpa rasuah setelah semua calon yang bertanding membuat ikrar menentang rasuah.
Menurutnya, PN juga terbukti menjadi kerajaan yang cakna dan prihatin kepada kebajikan rakyat semasa pandemik Covid-19 dengan melancarkan program Bantuan Perihatin Rakyat dan program PEMULIH bagi membantu memulihkan ekonomi rakyat.
“Jika berdasarkan kepada dapatan di atas tidak mustahil PN menjadi pilihan pengundi di PRN Melaka dan mampu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah atau pun parti yang mendominasi kerajaan negeri,” katanya.
Pada PRN Melaka, PN menampilkan 28 calon yang akan bertanding pada 20 November ini. – Malaysiapost

