KERAJAAN khususnya Kementerian Pertahanan digesa mengambil iktibar dan langkah proaktif lewat kemalangan yang menimpa perajurit negara dalam nahas pesawat Hawk 108 di Pangkalan Udara Butterworth, malam tadi.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ia bagi mengelak kecelakaan seperti itu berulang lagi di masa hadapan.
“Sayu mendengar perkhabaran duka berkenaan nahas yang membabitkan pesawat pejuang Hawk 108 malam tadi.
“Kita bukan sahaja telah kehilangan seorang perajurit malah kehilangan seorang kepala keluarga. Didoakan semoga arwah Kapten Mohamad Affendi Bustamy diterima disisiNya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berharap semoga keluarga Allahyarham diberikan kesabaran yang tinggi atas pemergian tulang belakang keluarga berkenaan.
“Saya turut mendoakan seorang lagi perajurit yang cedera, Mejar Mohd Fareez Omar diberi kesembuhan seperti sediakala,” katanya. – Malaysiapost

