Jenazah Kapten Mohamed Afendi selamat dikebumikan

0
1
Allahyarham Kapten Mohamad Affendi Bustamy

JENAZAH juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kapten Mohamed Afendi Bustamy selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Muadzam Shah, Pahang pada jam 9 malam tadi.

Allahyarham meninggal dunia selepas pesawat Hawk yang dipandunya terhempas di landasan pangkalan udara Butterworth jam 10.07 malam semalam, lapor MalaysiaGazzete.

Pengebumian jenazah juruterbang disempurnakan mengikut istiadat ketenteraan oleh sembilan pegawai diketuai Mejar Aizam Shaari.

Jenazah Allahyarham Mohamed Afendi, 31, telah diterbangkan oleh pesawat TUDM kira-kira jam 4.10 petang tadi dengan menggunakan pesawat C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia dari pangkalan udara Butterworth dan tiba di pangkalan udara Kuantan pada jam 5.10 petang.

Kemudian jenazah dibawa menaiki van sambil diiringi oleh isterinya, Nurul ‘Ezzary Shaari, ayah, keluarga mentua untuk dibawa ke rumah keluarganya di Taman Redan Perdana, di Bandar Muadzam.

Seterusnya, jenazah dibawa ke Masjid Muadzam Shah di sini untuk disolatkan pada pukul 7.15 malam.

Sejurus selepas solat, jenazah Allahyarham dibawa ke tanah perkuburan pada jam 8 malam dan selesai dikebumikan kira-kira sejam kemudian dalam keadaan hujan renyai.

Suasana pilu menyelubungi ahli keluarga Allahyarham terutama isteri Allahyarham yang kelihatan cukup hiba dan mengalirkan air mata sepanjang proses pengebumian berlangsung.

Ketika nahas itu berlaku, Allahyarham  dan rakannya, Mejar Mohd Fareez Omar sedang melakukan latihan penerbangan malam.

Mohd Fareez yang mengalami kecederaan kini menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan dilaporkan stabil. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here