SEORANG kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut kerana dipercayai terjatuh dari tingkat 16 di sebuah kondominium di Batu Caves, Gombak hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, ibu mangsa yang juga seorang ibu tunggal dikatakan tiada di rumah kerana keluar atas satu urusan.
Mangsa kemudian ditinggalkan bersama adik lelaki yang berusia empat tahun bersama ibu saudara berusia 36 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata siasatan awal mendapati mangsa dipercayai bermain dan memanjat sebuah katil di tepi tingkap.
“Ketika kejadian mangsa dalam jagaan ibu saudaranya. Kita percaya mangsa terjatuh daripada tingkap kediaman mereka.
“Siasatan mendapati tingkap berkenaan tidak dipasang jeriji, bagaimanapun siasatan lanjut sedang dijalankan oleh polis daerah Gombak,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001, kerana ada kaitan dengan kecuaian dan pengabaian terhadap kanak-kanak.
Ia adalah kes kedua kematian kanak-kanak akibat jatuh dari bangunan tinggi dalam tempoh dua hari.
Semalam, seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 29 sebuah kondominium di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.-Malaysiapost
Kredit Foto: Ihsan pembaca

