SIASATAN dalaman yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap dakwaan bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Abdul Hamid Bador mengenai wujudnya kartel dalam pasukan terbabit mendapati ia tidak benar.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata bagaimanapun bagi memastikan ketelusan berhubung dakwaan itu ia dibawa kepada Suruhanjaya integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) untuk meneruskan siasatan.
“Berkenaan dakwaan wujud kartel dalam PDRM siasatan dalaman telah dilakukan dan didapati tiada kartel sebagaimana yang dinyatakan tersebut.
“Walau bagaimanapun bagi memastikan ketelusan perkara ini dibawa kepada SIAP untuk meneruskan siasatan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Ditanya sama ada Abdul Hamid berbohong dengan dakwaannya itu susulan siasatan mendapati kartel tidak wujud dalam PDRM, beliau berkata perkara itu akan ditentukan selepas siasatan SIAP selesai.
“Saya tidak kata bekas KPN bohong..tetapi selepas siasatan dalaman mendapati tiada kartel PDRM seperti yang didakwa, maka sebab itu siasatan diserahkan kepada SIAP terlebih dahulu
“Jika SIAP dah buat laporan dan kalau betul tiada, maka bekas KPN bohong tetapi kalau ada kita akan ambil tindakan,” katanya.
Sementara itu ditanya sama ada Abdul Hamid sudah dipanggil untuk memberi keterangan, Hamzah dilihat cuba mengelak untuk menjawab secara spesifik dan hanya menegaskan semua yang terbabit diambil keterangan.
Hamzah menjawab isu dibangkitkan Ahli Parlimen Kota Raja Mohamad Sabu dan Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo mengenai dakwaan bekas KPN berhubung kartel dalam PDRM serta dakwaan berhubung isu pembelian pangkat PDRM.
Menjawab isu pembelian pangkat dalam PDRM, beliau berkata pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) telah selesai menjalankan siasatan dari sudut tatatertib dan mendapati isu ini tidak berlaku
“Semua urusan kenaikan pangkat dilaksanakan menerusi prosedur yang betul,” katanya. – Malaysiapost

