TARIKH luput atau jangka hayat produk vaksin Covid-19 jenis Coronavac dan Comirnaty dipanjutkan antara tiga hingga enam bulan.
Perkara itu dilluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) berdasarkan permohonan variasi daripada syarikat Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd dan Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pelanjutan tempoh jangka hayat produk telah diberikan berdasarkan data stabiliti terkini yang dikemukakan oleh pihak pengilang.
“CoronaVac Suspension for Injection Covid-19 Vaccine (Vero cell) Inactivated (MAL21046125ACSZ) bagi kedua-dua pek saiz (1 vial dan 2 vial), pelanjutan jangka hayat daripada enam bulan kepada 12 bulan.
“Comirnaty Concentrate for Dispersion for Injection (MAL21016022AZ), pelanjutan jangka hayat daripada enam bulan ke sembilan bulan.
“Comirnaty Concentrate for Dispersion for Injection (MAL21036039AZSZ), pelanjutan jangka hayat daripada enam bulan kepada sembilan bulan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kelulusan pelanjutan jangka hayat ini juga terpakai kepada semua stok secara retrospektif sebelum permohonan variasi ini diluluskan.
Beliau berkata, pihak pengilang diberi masa enam bulan dari tarikh kelulusan permohonan variasi untuk mengemaskini tarikh luput yang dicetak pada label vial untuk produk vaksin yang akan dikilangkan.
“Sehubungan dengan itu, KKM akan melanjutkan jangka hayat stok vaksin yang masih berada di dalam pegangan stok KKM.
“Pelanjutan jangka hayat ini juga terpakai kepada stok yang akan diterima daripada pengilang dalam masa terdekat,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata, KKM juga sentiasa komited dalam memastikan vaksin COVID-19 adalah berkualiti, selamat dan berkesan. – Malaysiapost

