PRN Melaka: Zahid yakin rakyat rindu kebangkitan BN

0
2
Zahid Hamidi

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin rakyat tidak sabar untuk menyaksikan langkah pertama Barisan Nasional (BN) untuk mengembalikan kestabilan serta kemakmuran di Melaka.

Ahmad Zahid berkata, kebangkitan BN untuk kembali sebagai parti teras mentadbir negara dan negeri-negeri seperti kegemilangan masa lalu adalah perkara yang sangat dirindui rakyat Malaysia.

Beliau berkata, seluruh jentera BN di Melaka ketika ini sedang giat berkempen tidak kira malam atau siang, hujan mahupun panas.

Katanya, walaupun ada percubaan melemahkan semangat jentera BN, ternyata ia tidak sedikit pun melunturkan keyakinan mereka terhadap perjuangan ini.

“Saya sangat terharu mendengar perkhabaran tersebut. Mereka terus bergerak tanpa henti. Itulah sebuah jasa dan bakti yang amat besar ertinya.

“Bukan sahaja kepada Melaka, malah seluruh rakyat Malaysia yang tidak sabar untuk menyaksikan langkah pertama BN mengembalikan kestabilan demi kemakmuran bermula di Melaka Inshaa Allah,” katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, beliau akan sentiasa mendoakan kesejahteraan seluruh jentera BN yang bertungkus lumus memenangkan calon parti tanpa mengenal erti penat lelah.

“Semoga sentiasa dalam perlindungan Yang Maha Agung tidak kira di mana mereka berada di Melaka, demi sebuah perjuangan yang murni dan penuh bermakna.

“Ketahuilah bahawa seluruh jentera BN yang terlibat pada PRN Melaka kali ini akan tercatat dalam sejarah sebagai pemangkin kepada kebangkitan semula BN,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, ahli dan pemimpin BN perlu meyakini bahawa ia adalah sebuah perjuangan jangka pendek dan panjang yang tulen bagi menegakkan kebenaran demi masa depan rakyat dan negara.

“Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, berkatilah rahmatilah redhailah perjuangan seluruh jentera BN di Melaka. Perkukuhkanlah keteguhan hati-hati mereka. Berilah mereka kekuatan.

“Jauhilah jentera BN kami daripada segala marabahaya dan penyakit. Lindungilah keselamatan mereka dan peliharalah kesihatan mereka.

“Permudahkanlah urusan mereka untuk menjulang kebangkitan BN dalam PRN Melaka demi kemaslahatan dan masa depan Malaysia tanahair kami,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here