BNM serbu syarikat e-dagang rampas RM118.7 juta

0
1
Bangunan Bank Negara Malaysia BNM

SEBUAH syarikat yang terbabit dalam aktiviti e-dagang dan syarikat sekutunya diserbu Bank Negara Malaysia (BNM), semalam kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan jenayah kewangan serta wang berjumlah RM118.7 juta turut dirampas.

Serbuan dalam operasi berseoadu itu dijalankan terhadap 22 premis i-Serve Online Mall Sdn Bhd dan syarikat sekutunya di sekitar ibu negara dan Selangor bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

BNM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, sebanyak 45 akaun di tujuh bank turut dibekukan dan pelbagai dokumen berkaitan dirampas bagi membantu siasatan.

“Tindakan diambil berikutan kesalahan dilakukan mengikut Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

“Orang ramai perlu mengetahui bahawa mana-mana individu yang menerima deposit tanpa lesen dianggap melakukan kesalahan mengikut Seksyen 137(1) FSA.

“Manakala siasatan terhadap kesalahan pengubahan wang haram juga akan dibuat mengikut peruntukan di bawah AMLA,” menurut kenyataan itu.

Menurut BNM, sebagai langkah berjaga-jaga, orang ramai diingatkan hanya menyimpan wang atau melabur dengan pihak berlesen atau berdaftar dengan pihak berkuasa berkaitan.

“BNM dan SC menggesa orang ramai berhati-hati apabila melabur dengan syarikat dalam atau luar negara yang menawarkan pelbagai peluang pelaburan serta menjanjikan pulangan lumayan.

“Sekiranya orang ramai mengetahui atau ditawarkan peluang pelaburan seperti ini melalui promosi media sosial, e-mel atau telefon, mereka digalak melaporkan perkara ini kepada BNM menerusi talian 03-26910824 atau SC di talian 03-6204 8999,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here