Taman Tema Sunway Lagoon tidak langgar SOP

0
1

POLIS mendapati jumlah 1,900 pengunjung yang berada di dalam taman air berombak, Sunway Lagoon seperti yang tular di media sosial baru-baru ini, masih berada di bawah jumlah yang dibenarkan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman, berkata taman tema itu boleh memuatkan seramai 40,000 pengunjung pada satu-satu masa, namun mengehadkannya kepada 20,000 orang berdasarkan SOP Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Bahagian air berombak di situ pula boleh memuatkan seramai 10,000 orang dalam satu-satu masa, tetapi mengikut SOP MKN Fasa 4 PPN hanya 5,000 orang dibenarkan dalam satu-satu masa.

“Menerusi video tular pada 6 November lalu, terdapat seramai lebih kurang 1,900 orang di dalam taman tema air berombak tersebut dan masih di bawah jumlah yang dibenarkan mengikut SOP,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Abd Khalid, berkata, polis turut menasihati pihak pengurusan Taman Tema Sunway Lagoon agar membenarkan hanya 1,000 orang pengunjung berada dalam taman air berombak itu dalam satu-satu masa.

“Kita telah membuat perbincangan dengan pihak pengurusan Taman Tema itu dan mereka juga telah bersetuju dengan cadangan tersebut.

“Pihak pengurusan juga memaklumkan akan mengambil langkah-langkah yang bersesuai bagi memastikan ianya dilaksanakan termasuk memastikan semua pengunjung sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.

Terdahulu, netizen mendakwa berlaku pelanggaran SOP di taman tema air terbabit, menerusi beberapa rakaman video kejadian yang didakwa berlaku pada 6 November lalu.

Hasil siasatan awal mendapati, terdapat seramai 3,513 orang pengunjung yang direkodkan berada di dalam kawasan taman tema tersebut. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here