PASUKAN pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pencegahan Covid-19 daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih meneruskan pemantauan di seluruh negara walaupun pelbagai sektor sudah dibuka.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata pemantauan dilakukan oleh setiap kontinjen polis di seluruh negara dari semasa ke semasa.
“Walaupun banyak sektor telah dibuka PDRM ada pasukan pematuhan di setiap kontinjen membuat pemeriksaan dari semasa ke semasa.
“Selain daripada itu Op Patuh juga masih diteruskan,” katanya dalam sidang media sempena lawatan kerja dan penyerahan kenderaan pasukan jenis Toyota Hilux GS Cargo serta van Go Auto Higer Ace di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, hari ini.
Menurutnya, sebagai contoh di Kontinjen Negeri Sembilan sahaja terdapat 160 pasukan pematuhan SOP Covid-19.
Justeru itu, beliau menasihatkan. orang ramai supaya terus mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan bagi bersama-sama menangani pandemik Covid-19.
Sementara itu, bercakap mengenai kenderaan baharu yang diperoleh, beliau memaklumkan secara keseluruhan 400 Toyota Hilux Gs Cargo diterima dan 240 van Go Auto Higer Ace yang diterima PDRM untuk diagihkan ke setiap kontinjen.
“Kontinjen Negeri Sembilan hari ini menerima 16 Toyota Hilux Gs Cargo dan sembilan van Go Auto Higer Ace.
“Kenderaan ini bagi kegunaan harian termasuk siasatan dan memudahkan pergerakan seperti di kawasan perumahan, kawasan banjir dan sebagainya,” katanya. -Malaysiapost

